ISYARAT DARI ALAM TINGGI
“Seburuk-buruk tempat di muka bumi ialah tempat yang di dalamnya tidak ada Abul Hassan.”
Demikian Sayyidina Umar bin Al-Khatab memuji Sayyidina Ali bin Abu Talib Karramallahu Wajhah kerana ketinggian ilmu dan makrifatnya. Pujian yang dilontarkan Umar itu berdasarkan sebuah kisah pertemuan beliau dengan Huzaifah bin Yaman R.A.
Umar bertanya kepada Huzaifah: “Bagaimana keadaanmu?”
Aku menjadi orang yang menyukai fitnah, membenci yang haq, aku solat tanpa wudhuk, dan aku memiliki sesuatu di bumi yang tidak dimiliki Allah,” jawab Huzaifah.
Mendengar jawapan Huzaifah tersebut, Umar begitu marah sekali. Mukanya merah. Tiba-tiba Sayyidina Ali muncul. Melihat wajah Umar yang berubah, Ali segera bertanya:
“Mengapa engkau seperti orang sedang marah, wahai Amiril Mukminin?”
Lalu Umar menceritakan apa yang dikatakan oleh Huzaifah. Ternyata Ali membenarkan semua perkataan Huzaifah. Umar hairan dan bertanya:
“Jadi engkau juga membenarkan ucapannya, wahai Abul Hasan?”
“Betul !!!!!!!,” jawab Sayyidina Ali.
- “Huzaifah menyukai fitnah kerana memang dia menyukai harta dan anak-anak. Bukankah Allah s.w.t. berfirman: “sesungguhnya harta dan anak-anakmu adalah fitnah.”
- Dia membenci perkara yang haq, maksudnya ialah membenci kematian. Siapa diantara kita yang menyukai kematian, ya Amirul Mukminin?
- Dia solat tanpa wudhuk, maksudnya ialah dia sering membaca selawat untuk Nabi.
- Dia juga mengakui memiliki sesuatu di bumi yang tidak dimiliki Allah di langit, maksudnya ialah isteri dan anak-anak.”
Mendengar keterangan tersebut, Umar berkata: “Seburuk-buruk tempat di muka bumi adalah yang tidak ada Abul Hasan di dalamnya.” Demikianlah salah satu keperihalan pengucapan orang-orang yang punya ketinggian makrifat yang boleh mengelirukan tanggapan dan pandangan orang lain yang mendengarnya jika difahami zhohirnya sahaja. Hanya di kalangan mereka yang dikurniakan ketinggian makrifat yang sama jua yang dapat memahami makna dan idea sebenar yang terselindung di sebalik pengucapan tersebut. Jika tidak....banyaklah fitnah dan pelbagai tuduhan yang terburu-buru akan bertebaran lantaran kerana kependekkan akal dalam memahami idea dan maksudnya. Akal semata-mata tidak mampu untuk memaknakan himpunan maksud dan idea di sebaliknya. Ia memerlukan pancaran Nur Makrifat yang hanya boleh ditanggapi oleh Ainul Basyirah atau Mata Hati atau Qalbun yang bersedia untuk menerimanya. Dari kerana itulah, para penghulu tasauf seringkali menasihati murid-muridnya dan orang-orang awam supaya bersabar apabila mendengar atau menemui kalimah-kalimah tinggi ulama-ulama sufiah kerana pada mereka
"Bagi setiap ilmu ada ahlinya; dan setiap orang dimudahkan untuk mendapat apa yang diuntukkan baginya" dan "pada setiap yang zhohir itu ada batinnya".
Seorang ulama Indonesia pernah mengutarakan berkenaan seorang tokoh ilmuan Islam yang banyak mencetuskan kontroversi dari zaman beliau lagi hingga ke masa sekarang hanya kerana mengucapkan sesuatu yang melemahkan pendirian akal kebanyakan manusia sehingga mereka melontarkan pelbagai tuduhan dan tanggapan yang tersasar jauh dari kehendak dan maksud asalnya ditujukan kepada ilmuan Islam yang banyak berjasa dalam menjernihkan makna beragama.
Pandangan-pandangan filsafat tasawuf Ibnu 'Araby dinilai oleh beberapa pihak, teruatama kaum fuqaha' dan ahli hadist sangat kontroversial. Sebab, teorinya tentang Wahdatul Wujud dianggap condong pada pantheisme. Hal ini disebabkan seluruh karya-karya Ibnu 'Araby, menggunakan bahasa simbolik, sehingga kalangan awam dan kaum tekstualis sangat kebingungan. Bahkan tidak sedikit yang mengganggap murtad dan kufur pada Ibnu 'Araby. Tak kurang, misalnya Syeikhul Islam Ibnu Taymiyah, dan pengikutnya. Tetapi pada akhirnya, Ibnu Taimiyah menerima pandangan Ibnu 'Araby setelah bertemu dengan Taqyuddin Ibnu Athaillah as-Sakandari asy-Syadzily di sebuah masjid di Kairo, yang menjelaskan makna-makna metafora Ibnu 'Araby."Kalau begitu yang sesat itu adalah pandangan pengikut Ibnu 'Araby yang tidak memahami makna sebenarnya,"kata Ibnu Taimiyah.
Oleh yang demikian, benarlah apa yang disebut oleh Nabi SAW. yang bermaksud;
"Sesungguhnya setengah daripada ilmu itu (sangat rahsia) seperti keadaan sesuatu yg tersembunyi, tidak dapat diketahui ilmu (yg sangat rahsia itu) kecuali oleh ‘ulama Billah’. Maka apabila mereka (ulama Billah) menyebutkan ilmu rahsia itu maka tidak akan mengingkarkannya kecuali oleh org yg bukan ahli ilmu Billah.” Rawahu Abu Mansor.
Dan lagi berkata Abu Hurairah r.a yang bermaksud :
“Aku peroleh dari Nabi Muhamad SAW dua bijan daripada ilmu. Maka adapun satu daripada dua ilmu itu aku ceritakan akan ia dan adapun ilmu lain yakni yang kedua daripadanya itu tiada aku ceritakan akan ia, Maka jikalau aku ceritakan akan dia nescaya dipotong orang akan leherku ini.”
Dan lagi berkata Saidina Ali Karramallahu Wajhah yang bermaksud:
“Ya Tuhanku, mutiara sesuatu ilmu itu jikalau aku nyatakan dengan berterus terang nescaya akan dikatakan orang kepada aku: Engkau(Ali) adalah orang yngg menyembah berhala. Dan sesungguhnya ada orang-orang Islam yang menghalalkan darahku. Mereka itu melihat perbuatan yg paling jahat yg mereka lakukan itu sebagai baik.”
Fahamilah dan mengertilah saudara.....bicara ini hanya sekadar untuk menegaskan bahawa lautan ilmu Allah itu tiada terhad dan ketinggian dan kehalusan kenyataanNya hanyalah diberikan kepada mereka yang menjadi pilihanNya sahaja mengikut kadar yang diKehendakiNya. Berhati-hatilah dengan kelebihan ilmu yang ada pada kita dan janganlah pula dijadikan nikmat kurnia Allah; Ilmu yang sedikit itu sebagai alat untuk menghina dan melemparkan pelbagai tuduhan yang tidak sebenar kepada ahli-ahli makrifat dan para sufiah serta Aulia Allah yang hanya sekadar cuba menyatakan sesuatu isyarat yang dikutip dari Alam Tinggi. Ingatlah pada Firman Allah dalam Surah Yusuf : 76 yg bermaksud:
“ Di atas tiap-tiap orang yang berpengetahuan ada pula lagi orang yang lebih berpengetahuan.”
Firman Allah dalam Surah Al Kahfi : 109 yg bermaksud:
“ Katakanlah( Ya Muhammad): Kalau sekiranya lautan menjadi dakwat utk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sungguh habislah lautan itu, belum habis(ditulis) kalimah Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula).
Ambillah sedikit pengajaran dan iktibar yang terdapat dari kisah Khaidir dan Nabi Musa yang diceritakan dalam Al-Quran. Sebahagiannya yang terdapat dalam Surah Al-Kahfi ayat 78 hingga 82 yang terjemahan adalah seperti berikut;
Ia menjawab: "Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan kepadamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya.
Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat.
Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.
Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya.
Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada "harta terpendam" kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya".
Jika seorang Nabi dan Rasul seperti Nabi Musa a.s tidak dapat menangkapi maksud sebenar perbuatan berhikmah Nabi Khaidir tanpa tunjukkan Allah, maka di manakah kedudukan kita dan dimanakah hak kita?
Bersyukurlah dengan apa yang telah dikurniakan dan carilah dengan bersungguh-sungguh apa yang masih kurang, amalkanlah semampu mungkin apa yang diketahui sebagai persediaan diri untuk menerima sesuatu yang belum diketahui lagi. Halakan butir-butir ilmu dan pengajaran yang diterima untuk membaiki kelemahan, kekurangan, keaiban dan kecelaan diri dan tebarkanlah kebaikan yang ada banyak manfaatnya untuk dikongsi bersama dengan saudara-saudara yang lain agar ilmu, pengajaran yang diterima serta amal sholeh yang dikerjakan akan bertambah-tambah keberkatannya.
Semoga Allah memberi saudara kebahagiaan yang maha tinggi yang ingin dicari oleh manusia; menjadikan saudara sebagai orang yang dipilihNya untuk naik ke darjah yang paling tinggi dan memenuhi pandangan saudara dengan cahaya hakikat, dan membuang dari batin saudara apa yang bukan hakiki.
Allahu A'lam
0 Tanggapan:
Posting Komentar